Wednesday, May 6, 2009

Sunat wasiat untuk berwakaf

Sunat wasiat untuk berwakaf
Rujukan : 05-06-2009, Utusan Malaysia

Soalan:
Ibu saya bercadang mewakafkan rumahnya dan sebahagian daripada hartanya melalui wasiat tetapi ragu-ragu adakah ia dibenarkan dalam hukum.
Jawapan:

Wasiat sebegini harus dalam Islam, malahan hukum berwakaf adalah sunat. Lebih-lebih lagi umat Islam yang daif yang amat memerlukan bantuan saudara-saudara Islam yang lain.

Kita juga perlu yakin bahawa salah satu alternatif bagi memulih dan mengekalkan kepesatan kewangan Islam ialah melalui cara berwakaf.

Di awal perkembangan Islam golongan korporat dari kalangan sahabat telah mewakafkan sebahagian besar dari harta mereka untuk tujuan pengembangan Islam. Natijahnya hari ini, terdapaat hampir 1.7 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Niat dan tujuan ibu untuk mewakafkan rumah dan sebahagian hartanya adalah langkah yang sangat baik, kerana manfaatnya bukan sahaja di dunia. Malahan pahalanya tidak akan terputus seperti air sungai yang mengalir.

Adalah lebih baik diperhatikan persoalan yang berkaitan dengan wakaf dan permasalahannya seperti berikut:
Apabila ditinjau dari segi bahasa wakaf bererti menahan. Sedangkan menurut istilah syarak, ialah menahan sesuatu benda yang kekal zatnya, untuk diambil manfaatnya untuk kebaikan dan kemajuan Islam.

Menahan suatu benda yang kekal zatnya, ertinya tidak boleh dijual dan tidak diberikan serta tidak pula diwariskan, tetapi hanya disedekahkan untuk diambil manfaatnya saja.
Ada beberapa pengertian tentang wakaf antara lain:

Pengertian wakaf menurut Mazhab Syafie dan Hambali adalah:
“Seseorang menahan hartanya untuk dimanfaatkan di segala bidang kemaslahatan dengan tetap mewakafkan harta tersebut sebagai taqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah SWT."
Pengertian wakaf menurut Mazhab Hanafi adalah:
“Menahan harta-benda sehingga menjadi hukum milik Allah. Maka seseorang yang mewakafkan sesuatu bererti ia melepaskan kepemilikan harta tersebut dan memberikannya kepada Allah untuk beroleh manfaatnya kepada manusia secara tetap dan berterusan, tidak boleh dijual, dihibahkan ataupun diwariskan."
Pengertian wakaf menurut Imam Abu Hanafi pula adalah:
“Menahan harta-benda atas kepemilikan orang yang berwakaf dan bersedekah dari hasilnya atau menyalurkan manfaat dari harta tersebut kepada mereka yang dicintainya. Berdasarkan definisi Abu Hanifah ini, maka harta tersebut ada dalam pengawasan orang yang berwakaf (wakif) selama ia masih hidup, dan boleh diwariskan kepada ahli warisnya jika ia sudah meninggal samaada untuk dijual atau dihibahkan (hadiah)"
Definisi ini berbeza dengan yang diberikan oleh Abu Yusof dan Muhammad, sahabat kepada Imam Abu Hanifah itu sendiri.
Pengertian wakaf menurut mazhab Maliki adalah memberikan sesuatu hasil manfaat dari harta, dimana harta pokoknya konsisten atas kepemilikan pemberi manfaat tersebut walaupun sesaat.
Daripada definisi itu dapat disimpulkan bahawa wakaf itu termasuk salah satu di antara pemberian, akan tetapi hanya boleh diambil manfaatnya dan bendanya harus tetap utuh.

Oleh kerana itu, harta yang layak untuk diwakafkan adalah harta yang tidak habis dipakai dan umumnya tidak dapat dipindahkan, misalnya tanah, bangunan dan serupa dengannya.

Utamanya untuk kepentingan umum, misalnya untuk masjid, surau, sekolah, rumah-rumah kebajikan, jalan awam, dan sebagainya.

Hukum wakaf sama dengan amal jariah. Sesuai dengan jenis amalnya maka berwakaf bukan sekadar berderma (sedekah) biasa, tetapi lebih besar pahala dan manfaatnya terhadap orang yang berwakaf.

Pahala yang diterima mengalir terus menerus selama barang atau benda yang diwakafkan itu masih berguna dan bermanfaat. Hukum wakaf adalah sunat.

Hadis Rasulullah yang bermaksud:
Apabila anak Adam meninggal dunia maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga (perkara), iaitu sedekah jariah (yang mengalir terus), ilmu yang dimanfaatkan, atau anak saleh yang mendoakannya. (riwayat Muslim)
Harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, dihibahkan atau diwariskan. Akan tetapi, harta wakaf tersebut harus secara terus menerus dapat dimanfaatkan untuk kepentingan umum sebagaimana maksud orang yang mewakafkan.

Syarat dan Rukun Wakaf
Syarat Wakaf

Syarat-syarat harta yang diwakafkan sebagai berikut:
1. Diwakafkan untuk selama-lamanya, tidak terbatas waktu tertentu.

2. Tunai tanpa menggantungkan pada suatu peristiwa di masa yang akan datang. Misalnya, “Saya wakafkan bila dapat keuntungan yang lebih besar dari usaha yang akan datang”.

3. Jelas mauquf alaihnya (orang yang diberi wakaf) dan bisa dimiliki barang yang diwakafkan (mauquf) itu.
Rukun Wakaf

Orang yang berwakaf (wakif), syaratnya:
1. Kehendak sendiri.

2. Berhak berbuat baik walaupun bukan Islam
Sesuatu (harta) yang diwakafkan (mauquf), syaratnya:
1. Barang yang dimiliki dapat dipindahkan dan tetap zatnya, berfaedah saat diberikan maupun dikemudian hari.

2. Milik sendiri walaupun hanya sebahagian yang diwakafkan (bercampur dan tidak dapat dipindahkan dengan bahagian yang lain)
Akad, misalnya: “Saya wakafkan ini kepada masjid, sekolah orang yang tidak mampu dan sebagainya” tidak perlu qabul (jawab) kecuali yang bersifat peribadi (bukan bersifat umum).


Hikmah Wakaf

Hikmah wakaf adalah seperti berikut:
Melaksanakan perintah Allah SWT untuk selalu berbuat baik. Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu, sujudlah kamu, sembahlah Tuhanmu dan buatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan. (al-Hajj: 77)
Memanfaatkan harta atau barang bagi tempoh yang tidak terbatas. Kepentingan diri sendiri sebagai pahala sedekah jariah dan untuk kepentingan masyarakat Islam sebagai sebagai tanggungjawab kaum muslimin. Mengenai hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa yang tidak memperhatikan urusan dan kepentingan kaum muslimin maka tidaklah ia dari golonganku”.
Mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan peribadi. Wakaf biasanya diberi kepada pihak berkuasa agama negeri. Kalau di selangor Majlis Agama Islam Selangor (MAIS). Atau di mana-mana organisasi yang berautoriti yang diberi izin oleh pihak berkuasa negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Kaedah usul fiqh yang bermaksud:
“Kemaslahatan umum harus didahulukan daripada kemaslahatan yang khusus”.