Saturday, January 23, 2010

Mereka lupa janji mahu jaga saya

Semalam, terkedu bila saya baca artikel "Mereka lupa janji mahu jaga saya"... yup perkara begini dah sering saya jumpa.. dan saya harap ianya tidak berlaku pada saya.. apa-apa pun.. harap rakan-rakan membacanya dan jadikan iktibar...

'Mereka lupa janji mahu jaga saya'

Oleh Ismail Mat
ismailmat@bharian.com.my

KOTA BHARU: Seorang warga emas mendakwa terpaksa menghabiskan sisa-sisa hidup dengan merempat di sebuah masjid dekat Pasir Tumboh di sini, sejak dua bulan lalu, selepas semua hartanya termasuk peninggalan Allahyarham isterinya dibolot seorang anak angkat perempuan secara penipuan.

Nasib malang itu menimpa, Yusoff Harun, 81, selepas anak angkatnya mendirikan rumah tangga dua tahun lalu dan mula menunjukkan perubahan sikap hingga dalam diam bertindak memindahkan semua harta, termasuk tanah miliknya.

Yusoff berkata, wang Amanah Saham Bumiputera (ASB) berjumlah RM18,000 peninggalan isterinya, Shafiah Daud, turut hilang selepas dipindahkan tanpa pengetahuannya.

Dakwanya, anak angkat perempuan yang berusia 30 tahun itu dikatakan turut tergamak menukar harta peninggalan abang angkatnya yang turut dipelihara oleh Yusoff.

Sepanjang dua bulan hidup merempat di masjid itu, kehidupannya bergantung kepada ihsan penduduk setempat untuk mendapatkan sesuap nasi kerana tidak mempunyai wang saku.

Menceritakan kisah sedih hidupnya itu, Yusoff berkata, beliau dan arwah isteri yang tidak dikurniakan cahaya mata mengambil sepasang anak angkat ketika usia menjangkau 60 tahun.

Beliau berkata, kedua-dua anak angkat itu dipelihara dengan baik dan diberikan didikan sehingga berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti lantaran dianggap seperti anak kandung.

"Tidak pernah sesaat kami mengabaikan mereka. Sebelum mencari rezeki dengan menjaja di bandar Kota Bharu, saya akan meninggalkan wang saku RM5 sehari untuk perbelanjaan mereka. Kami tidak pernah mengabaikannya termasuk mencari rezeki semata-mata untuk menampung perbelanjaannya ketika dia belajar di universiti," katanya.

Yusoff yang juga bekas tentera berkata, selepas melanjutkan pelajaran ke universiti di Kuala Lumpur, anak angkatnya berjanji menjaganya hingga akhir hayat seperti mana dia dan isterinya menjaga mereka selama ini.

"Sebelum meninggal, arwah isteri saya meninggalkan pesanan supaya tidak menjual tanah terbabit selagi kami masih hidup dan terpulang padanya (anak angkat perempuan) selepas kami berdua meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, dia menyedari semua hartanya itu sudah dipindah milik kepada anak perempuannya itu ketika mahu menjual sebidang tanah kepada jiran sekampung yang berhasrat membelinya dengan harga tinggi.

Susulan kejadian itu, Yusoff membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu, pada 15 Disember tahun lalu berhubung tindakan anaknya memindah milik tanah tanpa pengetahuan termasuk sebidang tanah di Chica.

"Saya sedih kerana anak angkat saya itu turut sanggup makan harta anak yatim kerana mengambil wang simpanan anak saudaranya yang disimpan arwah isteri dalam akaunnya sejak kecil," katanya.

Sumber : Berita Harian, 22 Jan 2010

Friday, January 22, 2010

Waspada ketika berwasiat

Waspada ketika berwasiat
Oleh IKBAL SALAM
Rujukan : 22-09-2009 Utusan Malaysia

BARU-BARU ini seorang kenalan yang baru kematian bapa menyampaikan kekesalannya kerana dokumen wasiat yang ditandatangani oleh bapanya dua bulan sebelum meninggal dunia rupa-rupanya tidaklah banyak membantu. Ia tidak seperti yang digambarkan oleh seorang wakil dari sebuah agensi berkaitan pusaka.

Sementara itu, seorang pelanggan sebuah institusi kewangan secara terpaksa menandatangani surat cara wasiat sebagai satu pakej pinjaman perumahan oleh bank sedangkan kandungan wasiat hampir tidak dipersetujui oleh pelanggan itu.

Sewaktu masyarakat khususnya orang Melayu semakin sedar keperluan merancang pembahagian harta pusaka, bukanlah rahsia lagi bahawa banyak pihak yang kelihatan begitu ghairah untuk menjadikan penulisan wasiat sebagai satu perniagaan.

Malangnya sehingga hari ini tiada siapa yang mempunyai kuasa untuk mengawal bidang penulisan wasiat ini hingga ada ketikanya wasiat dilihat begitu jauh tergelincir daripada neraca kemunasabahan penulisannya.


Tanpa berniat untuk merendahkan sesiapa, hari ini terdapat dalam pasaran seorang ejen insurans, pesara kerajaan, penjual kereta dan pelajar universiti menjadi penulis wasiat. Ada yang menjualnya pada harga RM350 dan ada pula menjual 'secara borong' sehingga serendah-rendahnya pada harga RM100.

Ada penulis yang menulis wasiat untuk pelanggan sendiri dan ada pula mengeluarkan lambang pelbagai syarikat dan institusi mengaku menjadi ejen kepada pelbagai institusi amanah. Ia berlaku sehingga dalam keadaan tertentu, Amanah Raya Berhad terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa pihak tertentu itu bukanlah ejen mereka.

Biasanya dengan tawaran hanya beberapa ratus ringgit, seorang ejen wasiat akan memberitahu klien bahawa wasiat tersebut akan menjadikan proses pembahagian pusaka lebih mudah.

Ada ketikanya, segala al-Quran berkaitan kewajipan menyediakan wasiat digunakan untuk meyakinkan pelanggan tanpa menyebut bahawa jumhur ulama sepakat mengatakan ayat-ayat berhubung wasiat sebenarnya dibatalkan oleh ayat-ayat pewarisan.

Akibat terpengaruh dengan hujah maka ramai umat Islam bersetuju berwasiat. Berdasarkan kepetahan 'penjual wasiat', suratcara wasiat itu terus dianggap oleh pelanggan tadi sebagai penyelesai segala masalah harta walaupun secara realitinya ia tidaklah semestinya begitu.

Antara wasiat biasa ialah seorang bapa membahagikan harta kepada anak-anaknya. Selepas kematiannya, anak-anak tidak bersetuju dan mempertikaikannya.

Menurut Mazhab Syafie, wasiat seperti itu tidaklah mengikat ahli waris dan ia hanya boleh dilaksanakan jika semua waris bersetuju terhadap wasiat berkenaan. Persetujuan itu pula hendaklah dinyatakan selepas kematian bapa dan bukan sebelum kematiannya.

Maka jika ada bantahan, maka wasiat bapa itu tadi akan terbatal dan harta pusaka itu mesti dibahagikan sama ada mengikut faraid atau muafakat baru. Maknanya wasiat yang ditulis oleh bapa tadi bersifat advisory dan bukannya mandatori.

Seorang yang mahir dalam perancangan pusaka sudah pasti tidak akan menggalakkan pelanggan menyediakan suratcara perundangan yang tidak mempunyai kesan atau boleh menjerumuskan mereka kepada masalah yang lebih kritikal.

Antara implikasi menulis wasiat tanpa panduan yang betul ialah:

1. Terdapat kes di mana wasiat menyukarkan usaha mendapatkan proses perintah pembahagian pusaka yang asalnya boleh dibicarakan di bawah bidang kuasa Pejabat Pusaka.

2. Wasiat oleh majoriti orang Melayu bukan sahaja mempunyai elemen pengamanahan atau wisoyah tetapi juga elemen pembahagian harta yang melebihi satu pertiga kepada ahli waris maka sering kali dilihat wasiat itu tidak dapat diterima pakai dan terbatal oleh mahkamah.

3. Dalam keadaan yang lebih ekstrem, wasiat boleh menjadikan ahli keluarga berpecah-belah. Dan mungkin menyebabkan perasaan benci penerima waris terhadap pewasiat yang telah meninggal dunia kerana wujud elemen pilih kasih sewaktu surat wasiat dibuat.

4. Perasaan kecil hati, merajuk dan sedih akibat "ketidakadilan" wasiat boleh menjadikan ahli waris menjauhkan diri antara satu sama lain dan mengelak diri daripada terlibat dengan pusaka tersebut sedangkan kerjasama atau tandatangan ahli waris masih diperlukan untuk pembahagian harta. Sikap ini menjadi antara punca kelewatan pembahagian pusaka.

Sebenarnya, perkara asas yang perlu diakui dalam "Suratcara Wasiat" ialah dokumen perundangan yang akan dirujuk oleh ahli-ahli waris sama ada di peringkat mahkamah syariah atau mahkamah sivil. Pada asasnya, kaedah pengurusan harta pusaka seseorang yang mati dengan berwasiat sudah pasti berbeza dengan kematian seseorang yang mati tanpa berwasiat. Sementara itu, kematian berwasiat seorang yang beragama Islam berbeza pula dengan orang bukan Islam.

Pada keadaan lain wasiat ini juga menjadi persoalan yang belum muktamad penyelesaiannya apabila pusaka seseorang itu dibicarakan oleh Pejabat Pusaka Kecil.

Atas hambatan undang-undang - dan kita pun tidak boleh menyalahkan mereka - ramai Pentadbir Pusaka yang masih lagi keberatan untuk mengambil kira faktor kematian berwasiat dalam perbicaraan pusaka kecil.

Oleh kerana dokumen wasiat ini diguna pakai di dalam prosiding mahkamah yang dalam banyak keadaan lazim pula dipertikaikan kandungannya oleh ahli-ahli waris si mati, maka sudah tentu pihak yang menyediakan dan menerangkan kandungan wasiat itu hendaklah mereka yang terdiri daripada mereka yang berlatar belakang undang-undang sivil dan syariah.

Dalam kata mudah, jika sakit jumpalah doktor dan jika mahu meninggalkan wasiat, mintalah nasihat daripada mereka yang arif tentang selok-belok undang-undang dan pembahagian harta secara Islam.

Melainkan jika seseorang itu memang bersetuju untuk hanya menyediakan satu suratcara yang bersifat panduan kepada ahli-ahli warisnya, maka masyarakat Islam hendaklah sedar bahawa wasiat hanyalah salah satu daripada kaedah bagi pembahagian pusaka.

Bagaimanapun oleh kerana wasiat seorang Islam adalah tertakluk kepada kekangan tertentu berbanding dengan bukan Islam, maka suratcara wasiat itu - dalam keadaan tertentu - hanya boleh dijadikan permulaan kepada pengurusan perancangan masyarakat Islam.

Bagi menjadikan perancangan itu bersifat mandatori khasnya kepada ahli waris, suratcara lain yang diharuskan syarak seperti pengamanahan atau hibah adalah lebih sesuai.

Dengan menyediakan dokumen yang bersifat mandatori untuk dipatuhi oleh semua waris, ahli-ahli tidak lagi boleh mempertikaikan keputusan kita.

Maknanya, kita telah mengurangkan kebarangkalian untuk ahli-ahli waris kita mempersoalkan pembahagian tersebut kerana ia telah sempurna dan mengikat pula ahli-ahli waris. Suratcara-suratcara seumpama ini oleh kerana melibatkan peruntukan silang undang-undang iaitu sivil dan syariah hendaklah dibuat oleh ahli-ahli terlatih di dalam bidang harta orang Islam ini.

Penyediaan dokumen berkaitan wasiat, hibah, amanah dan waqaf bukanlah perkara mudah yang boleh disediakan oleh sesiapa sahaja. Jangan sampai keadaan ini menyebabkan masyarakat Islam merasa serik untuk berwasiat.

Carilah mereka yang ahli di dalam bidang ini tanpa perlu menggunakan orang tengah atau ejen-ejen yang tidak diketahui latar belakang ilmunya mengenai soal wasiat ini.

Malaysia mempunyai beberapa institusi amanah yang berdaftar atau peguam-peguam yang mahir dalam bidang ini untuk menyempurnakannya.

Justeru, berhati-hatilah ketika berwasiat dan jangan menyusahkan anak cucu dan kaum keluarga kita. Paling penting jangan sampai mereka berpecah-belah kerana tidak berpuas hati soal pembahagian harta.

PENULIS ialah Peguambela dan Peguamcara
Mahkamah Tinggi Malaya

about me

Salam Perkenalan...

Jika ada sebarang persoalan berkaitan Pengurusan Harta Pusaka atau ingin tahu lebih lanjut mengenainya.. sila hubungi saya melalui email kaizer3030@gmail.com atau mobile no : 019.234.3030. Raja Fairulnizam @ kaizer